SHAH ALAM - Sebanyak 7,186 sitaan dibuat Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini bagi membanteras iklan haram termasuk iklan ah long.
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohammad Yacob berkata, selain sitaan, pihaknya turut membuat tangkapan di Bandar Bukit Tinggi, Klang serta satu kompaun.
Beliau berkata, bagi tempoh sama tahun lalu, pihaknya melakukan 19,081 sitaan melibatkan empat penahanan terhadap perilaku kesalahan yang sedang memasang iklan ah long di sekitar kawasan Persiaran Raja Muda Musa.
Menurutnya, MPK turut mengeluarkan empat kompaun kepada syarikat dan pemilik iklan peminjam yang dikenal pasti.
"Kita juga mengambil tindakan dengan menyerahkan nombor telefon yang dipaparkan pada iklan ah long kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), setelah semakan talian dilakukan oleh majlis sebanyak tiga kali.
"Bagi tahun 2014, sebanyak 26 nombor telefon yang dipaparkan pada iklan ah long dihantar ke SKMM untuk tindakan pembatalan talian," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohammad berkata, langkah itu dilihat mampu menangani aktiviti tidak bermoral tersebut, selain kerjasama daripada masyarakat setempat untuk melaporkan segera jika terdapat kes meletakkan iklan haram di kawasan mereka.
Source: http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/banteras-habis-habisan-iklan-haram-1.379808